Untuk paparan terbaik, sila guna Google Chrome. Boleh klik di sini untuk muat-turun.



Wednesday 20 April 2011

Surah Al-Qadr

SURAH al-Qadr mempunyai keagungan dan kemuliaan tersendiri kerana mengandungi penjelasan mengenai suatu malam kitab suci al-Quran diturunkan dari Allah s.w.t. ke dunia sehingga dengan membaca surah ini, seseorang akan mendapati kelebihan dan kehebatannya.

Surah Al-Qadr mempunyai lima ayat yang bermaksud:

“Bahawasanya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan, dan tahukah kamu apakah sebenarnya malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu (adalah suatu malam yang mulia) lebih baik (perbandingannya dengan malam-malam yang lainnya) seribu bulan, (kerana) pada malam itu turun malaikat termasuk (pimpinan mereka) malaikat Jibrail dengan izin Tuhan mereka untuk (menetapkan) pengaturan segala urusan, (pada) malam itu (penuh) kesejahteraan sehinggalah terbit fajar (masuknya waktu sembahyang Subuh).” (al-Qadr: 1-5).

Disebutkan satu kisah pada suatu hari, al-Faqih al-Imam al-Wali al-Kabir Ahmad bin Ujail didatangi seorang miskin dan mengadu mengenai kemiskinannya.

Seterusnya, dia diperintahkan supaya membaca surah al-Qadr sebanyak yang mungkin dan membaca doa:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Ya Allah, rahmati dan selamatkanlah penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w., keluarga dan sahabatnya.

“Ya Allah, wahai Zat yang mencukupi dari sekalian makhluk-Nya, tetapi tiada seseorangpun yang memerlukan-Nya di kalangan semua makhluk-Nya. Wahai Zat Yang Esa yang tiada bandingannya, putuslah segala harapan tanpa harapan daripada-Mu, hilang cita-cita melainkan kepada-Mu, dan amat sukar perjalanan kecuali menuju Engkau. Wahai penolong orang yang meminta tolong, tolonglah aku.” (dibaca sebanyak tujuh kali).

Sesiapa yang mempunyai hajat besar, dia hendaklah membaca surah al-Qadr sebanyak 141 kali kemudian membaca doa berkenaan sebanyak tujuh kali. Jika mengamalkannya, insya-Allah, hajatnya akan segera dimakbulkan.

Barang siapa membaca surah al-Qadr 1,000 kali pada hari Jumaat, maka dia tidak meninggal dunia sebelum sempat melihat Nabi Muhammad s.a.w. di dalam tidurnya.

Orang yang membaca surah al-Qadr 10 kali dan surah al-Ikhlas 10 kali pada sebekas air lalu dipercikkan pada pakaian baru, maka dia akan selalu dalam penghidupan yang lapang selagi pakaian itu dipakai.

Sesiapa membaca surah al-Qadr tiga kali setiap selesai sembahyang Maghrib dan Subuh kemudian membaca doa seperti di bawah ini, maka di antara dia dan iblis akan dibangunkan sebuah benteng pembendung Yakjuj dan Makjuj.

Doa itu bermaksud: “Ya Allah, Zat yang mempunyai kekuasaan, maka hilangkanlah dariku sebarang kesusahan dan kesukaranku.”

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP